Thursday 23 August 2012

Tikus Kritikus


 

Sebar virus

Bibir mulus

Bual tak putus

Tenggorok tak haus

Wajah nampak serius

Hati tak tulus

 

Tikus Kritikus

 

Terang jadi kabus

Kebenaran dibungkus

Pertalian diputus

Hanya mahu nampak bagus

Nista disisip rakus

 

Tikus Kritikus

Wabakmu mesti dihapus

 

NurPetunjuk

Anyer, 13 Julai 2012

Pesan


 

Dik, jika kau melangkah kakimu ke ufuk itu

bersedialah

menggugah rasa aman

hilang selera makan

tidur tiada keruan

tidak boleh lagi bicara kosong

setiap kata dipertanggungjawabkan

meski suara tidak kedengaran

di telinga-telinga Dekan

 

Dik, bila kau ke menara itu

nikmatilah

jamuan-jamuan peluang

dari dewan

mahupun di pinggir jalan

kerana tesis tak semesti kritis

nyanyian bukan hanya hiburan

 

masyarakat akan melihat kau sebagai calon:

Wirasakti; memikul bebanan

 

kucing-kucing kelaparan

anak kecil tidak disusukan

wanita bertelanjangan

anak muda suntik-suntikan

setiap tindakan menuntun pertimbangan

 

Ingatlah Dik, tidak mudah nakhodai bahtera

Sungai keringat, Lautan tangis

Gunung hampa, Dataran kecewa

tidak kurang pula

Taufan fitnah, Banjiran cerca

yang paling bahaya

lintasan Halimun hasad

menikam kejam dalam diam

 

semuanya harus kau tentang

dengan alunan kesabaran

 

Pesanku Dik, jika kau mahu takluk istana

hanya untuk peroleh takhta

aku rasa tidak usah

apa makna meraih takhta

hanya untuk berasa puas

lebih baik kau di luar sana

selongkar rahsia seisi buana

 

Tapi Dik, jika masih kau mahu ke taman itu

sunting bebunga ilmu

petik bebuah ihsan

tanam bebenih iman

 

Pergilah Dik...

Jangan lupa

Cium tangan ibumu, minta restu.

 

NurPetunjuk

Anyer, 13 Julai 2012

Pendakian yang Melelahkan


 

Sungai keringat mengalir deras

Berhujan tangis di terik petang

Lelah kupanjati gegunung ilmu

Wacana curam diredah terjah

 

Di lerengan penuh perlumbaan

Kutempuh pelbagai liku

ke puncak buana kulihat

ada yang berlari

ada yang berjalan

ada yang terkandas di pertengahan

 

Yang cekal mengorak langkah

Memeta rahsia seraut alam

Yang pasrah terkulai di  tepian

Patah harapan dirembas duga

 

Perjalanan ke menara gading

Walau sukar direntas jua

Walau sulit kuteruskan jua

Bersama bekal restu dan doa

Menjadi harapan seisi keluarga.

 

 

NurPetunjuk

Naskah Asal: Singapura, 14 Februari 2012

Naskhah Revisi: Anyer, 13 Julai 2012

Lawan Bola


 

Sebentar nanti

akan bermula

lawan bola

 

Wisel ditiup

meledak gerak

dari setiap penjuru merebut

bola yang satu mula teriak

dipulas dipagut dirampas diragut

terlantun ke sini-sana

 

Gerombolan pemuda-pemudi berkejar-kejaran

menolak menyiku tergolek tersandung

mundar mandir hulu hilir

bola dituntun menuju agung

 

Sorak puji dan keji berkumandang di jalanan

berbagai strategi diatur

arahan diberi

kepada pemuda-pemudi

 

Jurulatih berdiam diri

tenggelam dalam asakan berlarutan

 

Pemuda-pemudi terumbang-ambing mencari arah

bersama bola bersalut keringat dan darah

 

Wisel ditiup lagi

lawan bola sudah tamat

pemuda-pemudi berdiri lesu

ternyata semua kalah

semua tewas

semua gagal

 

...kecuali oportunis menghitung untung

 

NurPetunjuk

Anyer, 13 Julai 2012

Cinta yang Satu


 

Cinta,

Betapa aku dambakanMu,

Alunan  suaraMu,

Susunan kataMu,

Betapa aku dambakanMu.

 

Cinta,

Aku kosong tanpaMu,

Aku  dahagakan  hubungan  bersamaMu,

Aku hauskan irama pujukanMu,

Betapa aku rindukan kehadiranMu.

 

Cinta,

Aku kehilangan tanpaMu

Cinta,

Aku kesepian tanpaMu

 

Cinta,

Aku hulurkan tanganku,

Merayu padaMu,

Dakaplah aku, bisikkan bait-bait suciMu

 

Cinta,

BersamaMu aku  bernyawa,

BersamaMu aku bernafas,

BersamaMu aku hidup kekal abadi.

 

Cinta,

Terimalah aku,

Hujanilah aku dengan rahmatMu

Pimpinlah aku ke taman syurgaMu.

 

Nurpertunjuk

Inspirations from Rumi (Open Mic Poetry Slam)

Bushra Cafe, Singapura

19 Ogos 2011

 

 

 

           

 

 

Cinta Taman Syurga



Terkenang manis

Saat kita bersua

Bertentang mata

Menggoncangkan jiwa

 

Detik yang singkat

Tidak dapat ku lupa

Ku tanam dalam hati

Memori kita berdua

 

Tarian alam

Tak siapa yang tahu

Memori  yang ku tanam

Telah berbuah cinta

 

Ku gagahkan diri

Ku atur langkah

Ku petik buah cinta

Mulakan bicara

 

Hari-hari berlalu

Begitu indah terasa

Dua insan berbeza

Bertemu dan merindu

 

 

Ku tatap  wajahmu

Bisik kata cinta

Melafaz bait suci

Kurnian Illahi

 

Ku peluk hatimu

Ku ikatkan janji

Dua jiwa bersatu

Sehidup semati

 

Setelah setahun

masa berlalu,

Cinta kian mekar,

Membenih taman syurga.

 

NurPertunjuk, Singapura

Citra Merah Guru Budiman



Merah bak debunga wangi,

Namun sifatnya lembut tidak berduri,

Kasih dicurah tidak berbelah bagi,

Jauh menyentuh sudut sanubari.

 

Merah bak darah mengalir,

Sayangnya puan tidak terperi,

Menanamkan sifat tinggi pekerti,

Menjadi contoh guru mithali.

 

Merah lambang perjuangan,

Bendera dikibar di medan pertempuran,

Tabah jiwamu menghadap cabaran,

Semangat kentalmu menjadi pedoman.

 

Merah lambang akrab hubungan,

Meski wujudnya tirai pemisahan,

Kau hulurkan tangan tanda persahabatan,

Ikhlas membimbing dalam kehidupan.

 

Merah warna menjadi pilihan,

Melambangkan kasih seluruh insan,

Terpahat di jiwa seluruh pimpinan,

Hanya padamu guru budiman.
 
NurPertunjuk
Naskhah Asal: Singapura, 16 Februari 2011
Naskhah Revisi: Singapura, 24 Julai 2012

Tuesday 7 August 2012

Perjalanan Ke Menara Gading


Perjalanan ke menara gading
Ada yang berlari
Ada yang berjalan
Ada yang terkandas di pertengahan

Sungai keringat mengalir deras
Berhujan tangis di terik petang
Si cekal tetap mengorak langkah
Si pasrah terkulai di tepian

Perjalanan ke menara gading
Walau sukar didaki juga
Bersama bekalan doa dan restu
Dengan harapan seribu kejayaan.

NurPetunjuk
Singapura, 14 Februari 2012

Manusia Tanpa Bahasa


Apa hendak cerita

Sepi akal tanpa suara



Apa makna logika

Jika tutur tak utara rasa



Hujah dan sanggah

Tiada kuasa

Kerana manusia hilang bahasa



Yang bicara alpa dan lupa

Yang dikata fitnah dan dusta

Yang suara kosong semata



Hilang adab hilang nilai

Cemar budaya angkara manusia

Cemar bahasa di tangan bangsa.



NurPetunjuk

Singapura, 30 Januari 2012

Bagai Tuah hilang kerisnya


Bagai Tuah hilang kerisnya,

Hilang kesaktiannya,

Hilang keperibadiannya,

Hilang ia di muka bumi...



Lesu tiada berdaya,

Lemah dan longlai geraknya,

Tiada lagi pengertian,

Tiada lagi perjuangan...



Bagai seorang tua di hujung desa,

Tiada siapa sedar kehadirannya,

Tiada siapa peduli keperluannya,

Tiada siapa tahu perasaannya...



Mahu berdiri: tiada erti,

Mahu berjalan: banyak bebanan,

Mahu berlawan: putus tangan,

Matilah ia seorang yang rugi...



NurPetunjuk

Naskhah asal: Singapura, 21 October 2011

Naskhah Revisi: Anyer,13 Julai 2012

Mereka yang tak faham

Mereka yang tak faham

Hidup ini untuk apa,

Duduk dalam kelam

Walau dunia penuh cahaya.


Mereka yang tak mengerti
Hidup ini bagaimana,
Duit yang dicari
Walau harta depan mata.

Mereka yang tak sedar
Hidup ini milik siapa,
Impi bina bandar
Walau desa tak terjaga.

Mereka kian lupa
Hidup ini kerana apa,
Mahu gah di mata dunia
Walau bangsa kian menderita.



NurPertunjuk
Singapura, 29 Januari 2012

Kecamuk Alam Si Pepohon Rendang


Perhatikan awan,
Mengapa beterbangan di langit sana,
Berarak-arak perlahan,
Meninggal pergi membawa hatiku bersama…

Perhatikan hujan,
Apa maksudnya membasahi bumi ini,
Meninggalkanku kebasahan,
Tak peduli ku di sini, meninggalkan kesan lalu pergi…

Lihat matahari terbit tinggi,
Benarkah sinar membawa bahagia,
Cahaya diberi kehangatan dirasa,
Namun diwaktu yang sama ku rasa kekeringan, kesedihan…

Terkulai layu dimamah waktu,
Anai-anai berarak naik,
Menjamah badanku seinci demi seinci,
Tanpa peduli sakit yang dirasa tak menghirau tangisan yang didengar…

Lumrah hidup pepohon rendang yang kesepian,
Hidup segan mati tak mahu,
Musnah harapan, hancur segala impian,
Namun masih jua berdiri menanti pelangi indah menampakkan diri…


NurPertunjuk

Singapura, 21 Oktober 2009


Hak

Hak
Tak semestinya jelas
Yang pertahan tak semestinya benar
Yang melawan tak semestinya salah.

Hak
Mana harus kita sandarkan
Panjang hujah membela jiwa
Keras tindakan membantah rasa

Semua merangkul haknya
Semua mahu menjelaskannya
Dengan lantang menyuarakan
Namun kian tenggelam dalam kesamaran

Hak dipertahankan
Hak diperjelaskan
Yang mana lebih penting
Hanya Aku dan Dia yang tahu.

NurPertunjuk
Singapura, 22 September 2011

Fajar Menyingsing

Malam yang suram suasana kelam,
Hatiku tersisih dikala sepi,
Seribu derita terpendam di dalam,
Kasih sayangmu selalu dinanti.

Sinaran rembulan kian menghilang,
Meninggalkan diriku dalam kegelapan,
Sirna harapan musnah impian,
Terdampar diriku dalam kehampaan.


Ku dambakan fajar menyingsing…
Lenyapkan duka di dalam hati…

Aku kan tetap nantikan fajar menyingsing...
Lenyapkan sendu di dalam diri...

Mana perginya kerdipan bintang,
Yang bisa menghiburkan jiwa yang hiba,
Gerangan siapa merampas senyuman,
Yang bisa merubah nasibku yang malang.

Aku nantikan tibanya mentari,
Dengan sinarnya membawa bahagia,
Sambut tanganku pimpinku pergi,
Jauh dari sengsara yang melanda di jiwa.

Ku dambakan fajar menyingsing…
Lenyapkan duka di dalam hati…

Aku kan tetap nantikan fajar menyingsing...
Lenyapkan sendu di dalam diri...

Lirik: NurPertunjuk
Lagu: Aqmal N
Nyanyian: Aqmal

Singapura, 28 Mei 2010