Friday 22 February 2013

KE-PING-GAN-TUNG


KE mana arahnya kehidupan ini
manusia bak musafir fakir
merayau-rayau
mencari KEPING-keping syurga
Jatuh bertaburan di tepian pantai gersang
Beralas PINGGAN berdebu
Mengutip sisa-sia pengubat lara
Hanya untuk mengisi perut berisi
Kenyang tiada bisa dapat dirasa
Mengemis hasrat menghitung untung
Membawa sesat ke tali GANTUNG

NurPertunjuk
22 Februari 2013
Bukit Batok, Singapura

Wednesday 13 February 2013

Tekad Kesumat


Aku insan tanpa maruah
kerana maruahku telah
dijual oleh para pembesar
yang membeli tengkolok
di muzium penjajah

Aku manusia tanpa harta
kerana hartaku hilang
dicuri oleh pendeta
yang melafaz mantera
mendodoi bangsaku lena

Aku bangsa tanpa jiwa
kerana jiwaku lenyap
dimamah kitab sejarah
yang bertukar warna
di tapak istana

Namun aku masih bernyawa...

Dengan setiap nadi
Akan ku tebus nilai diri
Ku rampas kembali pesaka ninda
Ku tulis semula aksara wangsa
Membina mahligai di puncak buana.

NurPertunjuk
13 Februari 2013
NIE, Singapura

Friday 1 February 2013

Ratap Sang Semut

Semut
merayau-rayau di tengah
kota janji manis
bergula hasut

Semut
bergelut rasa di atas
puncak penuh sesak
meminta rebut

Semut
membungkam semput di balik
retak membengkak rana
meragut maksud...

Nurpertunjuk
1 Februari 2013
Serangoon, Singapura

Aku mencari aku

Hidup ini bagai
ada dalam tiada
tiada dalam ada

membawa resah ke sudut buana
meminta samudera membawa tenang
mendakap arus melenyap duka

lautan membiru membangkit semangat
langit terbentang menghidang harap

dengan ayu menyusun tari
dalam cahaya seribu makna

memberi jawapan teka-teki kehidupan...

NurPertunjuk
1 Februari 2013
NIE, Singapura

Thursday 24 January 2013

Wangian Kasihmu


Wangianmu
Menjalar ke timur dan barat
Mengundang asyik anak-anak muda berpesta
Bukan pesta riang ria di puncak peterana
Tapi beralun zikir dan selawat di pundak sejadah

Wangianmu
Menghembus semilir ke selatan dan utara
Membelai lembut hati insan berkelana
Kelana di dunia cinta nan fana
Di tanganmu kunci kasih abadi

Semerbak kasihmu
Mendakap jiwa yang lara
Menghiburkan dengan berita gembira
Berita gembira buat seisi buana
Bertemu yang Esa di singgahsana syurga

Aroma kasihmu
Sentiasa bersama meski jasadmu sudah tiada
Segenap manusia mengadu rindu
Menengadah ke langit memohon harap
Moga dapat bersua di taman raudhah

In Shaa Allah
Selawat dan salam ku ucapkan kepadamu Kekasihku

NurPetunjuk
Singapura, malam 23 Januari 2012 bersamaan 12 Rabiulawal 1434 (Maulidur Rasul)

Ku Berjanji


Ku impi jadi hulubalang sejati
Gagah berani bagaikan wira sakti
Menyelamatkan bangsa dari terus bermimpi
Segera bangkit dari alam fantasi
Merampas kembali keris taming sari
Lambang Melayu berakal budi bijak bestari

Ku melangkah masuk ke gerbang istana
Mencari jawapan segala rahsia
Mengumpul tinta dan aksara penguat hujah
Melawan musuh yang nyata dan pengkhianat bangsa

Di situ ku melihatmu
Di bawah pepohon ilmu
Tidak sepertiku
Penuh gopoh langkah tiada menentu

Ku lihat kau sedang berzikir
Berkumat-kamit tiada henti
Setiap kata tersusun rapi
Seperti dirimu yang tenang menanti
Kehadiran anak muda mencari makna hakiki

Di sini kau mengajarku
Menyusun langkah ku seperti gerak tari
Liuk lentok mengasyikkan mata memandang
Namun tajam dan berbisa penuh bermakna

Kau membekalkan ku dengan senjata
Dapat ku gunakan dalam perjuangan
Bukan untuk menikam lawan
Untuk memberi bangsaku sinar harapan
Kembali menawan puncak buana

Kepada mu ku mengikat janji.

Nurpertunjuk
Singapura
23 Januari 2013

Monday 21 January 2013

Mana Halanya

Ku telusuri jejak-jejakmu
Langkah ku terjah bebatu aksara
Tinggalan para pendeta penggugah bangsa

Ku singkap tirai jendela penguasa
Yang datang dan pergi
Meninggalkan bangsaku terus bermimpi

Ku dekati pujangga cinta
Suara merdunya menguak lena
Atau mendodoi mesra buat selamanya

Dengan resah, ku ke puncak nusa
Tangan kecilku mengumpulkan sisa
Membina kembali gerbang istana
Bersama sekumpulan hulu balang setia
Bukan menantikan kepulangan raja
Menunggu putera-puteriku kembali terjaga

Nurpertunjuk
Singapura
17 Januari 2013