Friday 22 February 2013

KE-PING-GAN-TUNG


KE mana arahnya kehidupan ini
manusia bak musafir fakir
merayau-rayau
mencari KEPING-keping syurga
Jatuh bertaburan di tepian pantai gersang
Beralas PINGGAN berdebu
Mengutip sisa-sia pengubat lara
Hanya untuk mengisi perut berisi
Kenyang tiada bisa dapat dirasa
Mengemis hasrat menghitung untung
Membawa sesat ke tali GANTUNG

NurPertunjuk
22 Februari 2013
Bukit Batok, Singapura

Wednesday 13 February 2013

Tekad Kesumat


Aku insan tanpa maruah
kerana maruahku telah
dijual oleh para pembesar
yang membeli tengkolok
di muzium penjajah

Aku manusia tanpa harta
kerana hartaku hilang
dicuri oleh pendeta
yang melafaz mantera
mendodoi bangsaku lena

Aku bangsa tanpa jiwa
kerana jiwaku lenyap
dimamah kitab sejarah
yang bertukar warna
di tapak istana

Namun aku masih bernyawa...

Dengan setiap nadi
Akan ku tebus nilai diri
Ku rampas kembali pesaka ninda
Ku tulis semula aksara wangsa
Membina mahligai di puncak buana.

NurPertunjuk
13 Februari 2013
NIE, Singapura

Friday 1 February 2013

Ratap Sang Semut

Semut
merayau-rayau di tengah
kota janji manis
bergula hasut

Semut
bergelut rasa di atas
puncak penuh sesak
meminta rebut

Semut
membungkam semput di balik
retak membengkak rana
meragut maksud...

Nurpertunjuk
1 Februari 2013
Serangoon, Singapura

Aku mencari aku

Hidup ini bagai
ada dalam tiada
tiada dalam ada

membawa resah ke sudut buana
meminta samudera membawa tenang
mendakap arus melenyap duka

lautan membiru membangkit semangat
langit terbentang menghidang harap

dengan ayu menyusun tari
dalam cahaya seribu makna

memberi jawapan teka-teki kehidupan...

NurPertunjuk
1 Februari 2013
NIE, Singapura